Sunday, June 12, 2011

Yet Another Sorry?

6 comments
 
Salam...

Pernahkah anda berkecil hati apabila sesorang memohon maaf kepada anda? Adakah anda terima permohonan maafnya? Atau, adakah anda semakin marah atas permohonan maafnya?

Tak baik marah-marah, nanti lekas tua...hehe.


Pernahkah anda menerima permohonan maaf dari orang yang sama berkali-kali ke atas kesalahan yang sama yang dilakukan berulang-kali? Atau, pernahkah anda memberi kemaafan ke atas seseorang yang melakukan kejahatan atau berbuat aniaya terhadap anda hingga hidup anda porak-peranda?

Kita selalu diperdengarkan kata-kata ini..."Sedangkan Rasulullah s.a.w. ampunkan umat..." Atau nasihat ini,..."Mohonlah keampunan kepada Allah. Allah maha pengampun lagi maha mengasihani..."

So, maafkan sahaja kesalahannya....boleh?

Berat bukan?

Memang Allah maha pengampun lagi maha mengasihani, tetapi adakah kita tahu samada kita telah diampunkan ke atas apa jua dosa yang telah kita lakukan? Sudah tentu tidak, kecuali, bila tiba masa pembalasan di hari akhirat kelak. Sebagai hambaNya, kita dituntut untuk memperbanyakkan memohon keampunan (berterusan) dan berusaha untuk tidak mengulangi lagi perbuatan dosa tersebut. Malah, ada juga dosa yang memerlukan kita untuk bertaubat nasuha.

Bagaimana pula kesalahan yang dilakukan sesama manusia?

Adakah mencukupi dengan hanya mengungkapkan kata-kata "maaf" kerana sesuatu kesalahan seperti contoh permohonan maaf di bawah?:

Maafkan saya kerana terlanggar anak awak semasa saya memandu laju tadi.
Maafkan saya kerana menumbuk awak dengan sengaja.
Maafkan saya kerana menganiaya awak hingga awak hilang kerja dan terpaksa hidup merempat.
Maafkan saya kerana "main kotor" untuk mendapatkan "tender" tersebut.
Maafkan saya kerana kita tidak dapat meneruskan perkahwinan kita.
Maafkan saya kerana merosakkan komputer awak dengan meletakkan virus.
Maafkan saya kerana menyebarkan gambar tidak senonoh awak di internet.
Maafkan saya kerana membuat fitnah dan menyebabkan awak dipenjara.
Maafkan saya kerana menyimbah asid ke muka awak.

Sudikah anda memberi kemaafan dengan mudah dan hati yang lapang untuk contoh-contoh permohonan maaf di atas?

Mungkin lebih mudah memberi kemaafan jika contoh permohonan maaf yang sebegini:

Maafkan saya kerana sudah lama tidak melawat blog awak.
Maafkan saya kerana lambat membalas sms awak.
Maafkan saya kerana terlupa untuk memasukkan blog awak ke dalam bloglist saya.

Adakah kita tidak perlu memberikan kemaafan jika kesalahan yang dilakukan terlalu besar?

Anda fikirkanlah sendiri.

Jika seseorang itu memohon maaf dengan benar-benar ikhlas dan berbuat berbagai-bagai tindakan memperbetulkan kesilapan atau kesalahannya, mungkin kita lebih mudah untuk memberikan kemaafan kepadanya. Jika kesalahan itu dilakukan berulang-kali dan disulami permohonan maaf berkali-kali, kita mungkin akan terfikir adakah permohonan maaf darinya itu sekadar main-main? Jika kesalahan yang dilakukan amat besar tetapi dia sekadar mengungkapkan kata-kata maaf tanpa berbuat apa-apa tindakan pembetulan, mungkin agak sukar juga untuk menerima maafnya itu.

Jika kita sentiasa memberi kemaafan dengan ikhlas tanpa perasaan berbaur-baur di atas apa jua kesalahan samada kecil atau besar, hidup kita mungkin akan lebih sempurna. Adakah kita bersikap sebegitu positif?

Anda fikirlah sendiri juga...

Atau, mungkinkah anda mengucapkan kata-kata berikut,..."Maaf, saya tidak dapat memaafkan awak!"

Apa pendapat anda?



Sekian

6 Responses so far.

  1. biasanya kalau dah cakap maaf tu, dah sejok hati. x de marah2 sangat

  2. Unknown says:

    memaafkan seseorg kerana tk singgah blog tu kira ok juga, tp kalau sebab2 yg mula2 tu...payah juga nk beri kemaafan..

  3. Maaf terbaca artikel ini..

  4. salam.
    alhamdulillah.. setakat ni x penah jmpa org yg lakukan kesalahan yg xboleh di maafkan pada saya.. tak tahulah mungkin sy mudah melupakan sume kesalahan org. cuma apa yg saya lakukan, setiap mlm sy maafkan semua org dan mohon pada Allah semoga membuka hati semua org untuk memaafkan saya..

  5. Phoenix says:

    Bukan mudah untuk memaafkan seseorang yg telah melakukan kesalahan besar pada kita. Pada saya segalanya tergantung kpd jenis kesalahan yg dilakukan Dan sejauh mana pesalah itu berusaha utk membetulkan kesilapannya..

  6. abglan says:

    Tengok keadaan laa... kalau tengah panas, jangan kata maaf.. Tengok bayang² pun tak bleh.

    Tunggu cool dulu, Nak mintak maafpun ade caranya..

My Pings and Backlinks
Blogged.my Free Auto Backlinks From 1Malaysia Free Auto Malaysia Backlinks
Free SEO Tools My Ping in TotalPing.com