Pagi tadi sewaktu aku berjogging dan brisk walking, aku terlihat beberapa ekor anak-anak tucen (kucing) sedang seronok bermain-main berdekatan sebuah kereta. Seekor darinya begitu asyik mencakar dan menggigit tayar kereta tersebut. Entah apakah yang digeramkan sangat dengan tayar tersebut, akupun tidak pasti.
Bila terpandang situasi tersebut, aku teringat akan perbualan aku dengan salah seorang bekas staff aku semasa bekerja di sebuah syarikat Kawalan Keselamatan dahulu.
"Orang kata, hidup kita ini bagaikan roda. Kenapa pula hidup aku begini sahaja sekian lama?"
Maksud engkau?
"Ye lah. Kalau roda, tentu ada turun naiknya. Tapi hidup aku seperti stagnant tak bergerak-gerak. Asyik susah macam ni sahaja. Mungkinkah aku tersalah naik roda?"
Tersalah roda?
"Mungkin roda yang aku naiki itu telah pancit dan tersadai tidak bergerak-gerak. Manakala aku berada di bahagian paling bawah."
Tak baik mengeluh macam tu.
"Maaflah Chief, typical budaya orang kita. Suka mengeluh dan mendengar keluhan termasuklah aku. Jarang sekali orang menegur aku jika aku asyik senyum dan nampak gembira tetapi kalau aku monyok dan bersedih sure ramai yang akan bertanya."
Apa masalah engkau sebenarnya bro?
"Begini Chief. Aku selalu sahaja kesempitan wang. Aku bukanlah seorang yang boros. Aku bukan kaki perempuan dan kaki joli. Aku juga bukan kaki judi. Tetapi gaji aku tidak pernahnya cukup untuk sampai ke hujung bulan. Berbagai-bagai cara telah aku buat. Dahulu aku bekerja di Bank sebagai pegawai biasa, bila dapat tawaran kerja di sini dengan gaji sekali ganda, aku terus berhenti dan terima tawaran tersebut. Aku ingatkan bila gaji aku telah naik, aku mungkin tidak akan menghadapi masalah yang sama, tetapi masalah kewangan aku itu semacam tidak mahu berganjak."
Pernah tak engkau membuat kira-kira semua perbelanjaan engkau dan keluarga setiap bulan? Mungkin ada perbelanjaan yang boleh dielakkan dan wang tersebut boleh dijadikan simpanan.
"Sudah Chief. Aku dan isteri aku telah berbincang dan membuat kira-kira. Banyak juga item-item yang kami rasa tidak perlu telah kami buang atau tangguhkan. Tetapi, hasilnya semacam serupa juga."
Aku sebenarnya tidak berapa berkenan hendak ucap atau tanyakan soalan ini, tetapi aku terpaksa juga bertanya. Aku harap engkau tidak marah.
"Apa tu Chief. Cakap je, aku tidak akan marah."
Ada engkau bersedekah?
"Errr...Terus terang Chief, aku kurang bab itu. Solat akupun selalu tunggang-langgang."
Aku minta maaf kalau engkau terasa bro. Apa kata engkau perbanyakkan sedekah. Beri sekadar yang engkau termampu. Kalau ada lebihan duit tu, apa kata engkau upah orang masak dan hantar ke rumah anak-anak yatim. Bila jumpa budak-budak berilah sedikit duit, 20 sen pun tidak apa asalkan engkau ikhlas.
"Aku akan buat Chief."
Sebahagian harta kita itu adalah hak milik orang lain. Dengan bersedekah kita dapat membersihkan harta-harta kita itu. Lagi satu, bila kita banyak memberi, lagi banyak kita akan menerima, insyaAllah.
"Terima kasih atas nasihat Chief tu."
Aku minta maaf kalau engkau terasa bro. Aku bukanlah ustaz, warak atau orang alim yang layak untuk beri nasihat tentang hal-hal agama macam ini. Tetapi, sekadar ingin berkongsi apa yang aku tahu. Lagipun perkara atau nasihat ini bukan untuk engkau sahaja. Ia untuk aku juga.
Lagi satu, engkau kena juga bersedia untuk mengawal roda yang berputar itu.
"Maksud Chief?"
Ye lah. Kalau roda tu berputar, mesti ada masanya kita di atas dan ada juga masanya kita di bawah.
"Habis tu?"
Kita perlu tahu mengawal roda itu supaya kita tidak akan berada di bawah sentiasa. Kalau jatuh sekalipun setakat di pukul 3 atau pukul 9 dan kemudiannya naik kembali. Oleh itu, kita perlu perbanyakkan ilmu bagi mengawal keseimbangan roda tersebut. Dalam kata lain, ilmu untuk mengawal keseimbangan hidup kita. Bila kita hampir jatuh, cepat-cepat bertindak. Jangan tunggu jatuh baru hendak bertindak.
"Dalam maksud Chief tu."
Jangan pernah ada rasa boring atau putus asa untuk belajar.
"Tapi Chief dah tak ada di sini. Susah sedikit."
Tidak mengapa. Boleh belajar juga dengan orang lain. Malah, aku sendiri pun masih terus-terusan belajar dan tidak pernah ada rasa ingin memilih siapa yang patut jadi guru. Selagi orang itu dapat memberikan aku sesuatu ilmu yang berguna, kita tidak patut ada rasa malu untuk belajar dari dia. Jangan fikir pasal pangkat atau umur seseorang itu. Adakalanya, aku sendiripun belajar dari anak aku tentang sesuatu perkara. Apa yang penting ialah kita berusaha mempertingkatkan ilmu untuk kehidupan kita.
Apabila sudah berilmu, kenalah pula berusaha bersungguh-sungguh.
Aku tidaklah menyuruh engkau bekerja bertungkus-lumus sehingga engkau terpaksa abaikan keluarga. Seimbangkan dan fokus kepada mencapai matlamat atau sasaran di dalam hidup. Jika keluarga sanggup berkorban sekalipun, jangan sampai mereka terabai.
Seperti juga dalam hal agama. Tuhan tidak menyuruh kita hanya beribadah untuk akhirat semata-mata. Perlukan keseimbangan kehidupan di dunia dan kebahagiaan hakiki di akhirat. Jika tidak, masakan ada pepatah.."Bekerjalah bersungguh-sungguh seolah-olah kamu hidup 1,000 tahun lagi dan beribadahlah bersungguh-sungguh seolah-olah kamu akan mati esok hari." Menguruskan hal-hal duniawi menurut lunas-lunas dan kehendak agama juga merupakan ibadah dan insyaAllah (jika diterima) syurga juga balasannya.
Engkau ni rajin bekerja. Teruskan sahaja sikap engkau yang baik itu. Kutiplah ilmu di situ seberapa banyak yang mungkin. Mungkin suatu hari nanti, engkau akan dapat offer yang lagi bagus, so, engkau pergunakanlah ilmu dan pengalaman engkau itu sebaik mungkin.
Yang terakhirnya, jangan sesekali memandang hina orang yang berada di bahagian paling bawah roda. Apatah lagi mengutuk atau menghinanya terang-terangan.
"Kenapa Chief?".
Takut nanti itu menjadi doa untuk diri engkau sendiri. Apa salahnya memberi sedikit bantuan. Jika tidak mampu, tidak salah untuk berdoa kepada Tuhan agar dia diberikan rahmat dan bantuan. Mungkin juga doa tersebut akan menjadi doa untuk diri kita sendiri. Sebab itu, kita dilarang untuk berdoa menjatuhkan atau memudaratkan orang lain. Perbanyakkan doa untuk kebaikan diri sendiri dan keluarga. Jangan malu atau sombong untuk meminta dari Tuhan. Jangan putus-putus berdoa untuk emak dan abah engkau.
"OK Chief. Terima kasih banyak".
Baru-baru ini, aku telah berjumpa lagi dengan beliau setelah hampir 3 tahun. Beliau telah berhenti dari syarikat Kawalan Keselamatan tersebut dan bekerja di sebuah syarikat lain yang lebih kukuh.
Apa yang aku rasa amat terharu ialah, beliau masih ingat aku lagi. Masih memanggil aku Chief, dan yang lebih penting, sekarang ini beliau menjawat jawatan di syarikat tersebut sebagai seorang Regional Manager! Syukur alhamdulillah!...
"Chief, tolong bagi duit ni pada anak-anak Chief".
Ehh?? Banyak gila ni!
"Tak apa Chief. Setakat RM1,000 tu nothing kalau dibandingkan dengan nasihat yang Chief bagi pada saya dahulu".
Errr...Kelu lidah aku untuk berkata-kata...
Sekian.
cerita yg menarik..
kuasa sedekah tu besar pahalanya..
Salam MDT, thanx sudi singgah n komen. Sekadar mengingatkan diri sendiri. Kalau ada sesiapa dpt manafaat, syukur alhamdulillah.
waa setuju ngn abg long
siti pun setuju dengan abang long....
Salam CWL Waanie LovelA dan Siti Aziz, thanx sudi singgah dan tinggal komen. Harap2 coretan ini ada manafaatnya.