ATM telah menjadi sebahagian unsur-unsur penting di dalam kehidupan kita. Bukan sahaja ATM memberikan kemudahan kepada kita yang memerlukan kecekapan dan kecepatan layanan untuk transaksi kewangan tetapi juga pada masa yang sama membuka ruang-ruang dan elemen-elemen risiko. Penggunaan ATM memerlukan kita untuk sentiasa berwaspada serta melakukan serba sedikit perancangan. Hanya kerana sesebuah ATM itu beroperasi 24 jam, tidak bermakna ia sentiasa selamat untuk digunakan
Fakta Rompakan ATM
Kebanyakan rompakan di ATM berlaku di waktu malam di antara 7 malam hingga ke tengah malam di mana pada ketika itu dianggarkan peratusan transaksi cuma 10% daripada keseluruhan transaksi sehari. Ada juga kajian menunjukkan bahawa di antara jam 7 malam hingga 4 pagi, ATM hanya mungunjurkan 11% dari keseluruhan transaksi sehari tetapi terdedah kepada 60% daripada peratusan keseluruhan kejadian-kejadian jenayah.
Siapakah Perompak-perompak ATM?
- Menurut kajian, kebiasaanya perompak ATM terdiri daripada golongan lelaki berumur di bawah 25 tahun dan kebiasaanya melakukan rompakan secara bersendirian.
- Perompak biasanya bersembunyi berhampiran ATM (lebih kurang 50 kaki) menunggu mangsa melakukan transaksi di mesin tersebut (untuk pengeluaran tunai).
- Menurut rekod, separuh dari rompakan ATM berlaku ketika pengeluaran tunai dilakukan.
- Kebanyakan mangsa merupakan wanita yang membuat transaksi di ATM secara bersendirian.
- Kebanyakan mereka juga mengatakan tidak melihat kehadiran perompak ketika kejadian.
Pilih Lokasi yang selamat
Gunakan ATM yang cukup terang dan menjadi tumpuan orang ramai. ATM yang terletak di shopping kompleks boleh dianggap selamat. Jangan gunakan ATM yang agak terlindung dari pandangan orang ramai seperti di bahagian belakang bangunan.
Berhati-hati dan beri tumpuan lebih kepada kawasan-kawasan yang membolehkan perompak berselindung seperti pokok-pokok besar atau semak samun. Perompak ATM biasanya lebih suka melakukan rompakan secara mengejut dan tanpa disaksikan oleh orang lain. Perompak juga suka melakukannya di tempat di mana peluang melarikan diri adalah lebih mudah.
Rancang sebelum membuat transaksi
- Adalah lebih baik sekiranya anda mendapatkan senarai-senarai lokasi ATM bank anda. Dari senarai tersebut pilih lokasi ATM yang anda fikir lebih selamat untuk digunakan.
- Cuba untuk tidak membuat transaksi di ATM diwaktu malam. Jika boleh, sekiranya ingin membuat transaksi di waktu malam, bawa bersama seseorang atau beberapa orang kawan untuk menemani anda.
- Apabila anda menuju destinasi ATM yang anda pilih tadi, cuba melihat persekitarannya terlebih dahulu dan perhatikan samada terdapat orang yang meragukan di sekitarnya.
- Semasa berjalan menghampiri ATM seeloknya kad ATM telahpun dikeluarkan dan tersedia untuk digunakan. Pastikan anda telah menghafal PIN untuk mempercepatkan transaksi di ATM dan juga mengelakkan berlakunya "unauthorized withdrawal).
- Selepas memasukkan kad dan PIN di ATM, cuba perhatikan sekeliling anda termasuk di belakang anda. (ingat! perompak biasanya menghampiri dari belakang anda).
- Jangan sesekali menerima tawaran untuk membantu anda dari orang yang anda tidak kenali serta mencurigakan semasa melakukan transaksi tersebut. Senantiasalah berjaga-jaga!
Tindakan semasa sedang melakukan transaksi
- Sekiranya terdapat seseorang yang mencurigakan cuba menghampiri anda, hentikan transaksi dan beredar dari situ secepat yang mungkin, walaupun anda terpaksa melarikan diri dan meninggalkan kad ATM anda di mesin.
- Mungkin ada perlunya anda memberi amaran kepada orang yang mencurigakan tersebut untuk tidak menghampiri anda kerana cara tersebut akan membuatkan si perompak (sekiranya benar) akan panik dan ini akan memberi ruang untuk anda melarikan diri dengan selamat. Mungkin cara ini akan membuatkan anda malu dan perlu untuk meminta maaf kemudiannya (sekiranya orang yang anda curigai itu bukan perompak), tetapi itu adalah lebih baik dari dirompak.
- Selepas anda menerima wang dari mesin ATM tersebut, segera menyimpannya, ambil dan simpan kad anda lalu berlalu dari situ dengan segera. Kira wang yang anda terima hanya apabila tiba di tempat yang selamat.
Melakukan transaksi di ATM pandu lalu
- Sekiranya anda membuat pengeluaran wang di ATM pandu lalu, tatacara panduan yang sama seperti di atas perlu dipraktikkan.
- Pastikan tiada tempat tersorok yang membolehkan perompak untuk berselindung serta pastikan juga tiada orang yang mencurigakan berkeliaran di sektar mesin tersebut. Sekiranya ada, ikutlah rasa hati anda dan beredar dari situ.
- Pastikan pintu kenderaan anda sentiasa dikunci dan kenderaan anda berada di dalam gear.
- Semasa membuat transaksi, berhati-hati dan lihat cermin pandang sisi dan belakang kenderaan anda. Biasanya perompak akan cuba menghampiri dari bahgian belakang dan sisi pemandu. Jika terdapat sesiapa yang menghampiri anda, cuba tamatkan transaksi dan beredar dari situ dengan segera walaupun terpaksa meninggalkan kad di ATM tersebut.
- Sekiranya anda diugut oleh perompak bersenjata, serahkan sahaja wang anda itu tanpa soal. Kehilangan wang tunai tidak setimpal dengan kecederaan serius atau mungkin kehilangan nyawa.
- Pergi ke tempat yang selamat dan hubungi pihak Polis dengan segera.
Sebagai kesimpulan, di sini diunjurkan ringkasan langkah-langkah keselamatan yang perlu diketahui dan diikuti sebelum, semasa dan selepas membuat transaksi ATM:
- Guna ATM yang berada di tempat yang cukup terang dan kawasan tumpuan ramai
- Guna ATM di dalam shopping complex yang sibuk jika boleh
- Elakkan mengguna ATM berhampiran kawasan yang sesuai untuk bersembunyi
- Bila menghampiri sesebuah ATM, lihat kawasan persekitarannya dahulu
- Berhati-hati dan cuba elakkan tempat di mana orang yang mencurigakan suka melepak
- Pastikan kad ATM anda tersedia untuk digunakan.
- Jangan amalkan mengira wang yang keluar dari mesin di tempat umum
- Beredar samada lari atau memandu kenderaan apabila firasat anda merasakan tidak selamat
- Berhati-hati dan elakkan menerima tawaran atau bantuan dari orang mencurigakan
- Gertak dengan menjerit jika dihampiri orang yang mencurigakan
- Jangan bertekak atau melawan ketika rompakan. Fikirkan keselamatan diri dahulu
- Jangan bergaduh atau mengikut si perompak
- Beredar atau memandu ke tempat selamat dan hubungi Polis dengan segera
Sebenarnya banyak lagi langkah-langkah keselamatan yang perlu diketahui dan diambil semasa melakukan transaksi di ATM. Artikel ini bertujuan untuk memberikan beberapa langkah-langkah asas tersebut.
Semuga anda semua mendapat manafaat.
Sekian
Post a Comment