Thursday, July 15, 2010

Crisis management Part 9

4 comments
 
Salam,

Hari ini aku ingin menulis pula tentang Pelan-pelan Tindakan Meneruskan Operasi Ketika Berlakunya Krisis Buruh. Coretan aku ni adalah sinambungan kepada post-post aku sebelumnya berkenaan Crisis Management. Sekiranya anda belum atau ingin membaca semula post-post aku tersebut, sila pergi ke Table of Contents dan klik topik atau link yang berkaitan.


Sepertimana yang telah aku tulis di post-post yang lepas, sesebuah syarikat perlu memiliki pelan-pelan tindakan meneruskan operasi (BCP) sekiranya berlaku krisis termasuklah Krisis Buruh.

Krisis Buruh bermaksud situasi di mana syarikat mengalami masalah akibat gangguan operasi pekerjaan yang terhasil akibat tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pekerja-pekerjanya atau akibat kekurangan pekerja-pekerjanya berbanding jumlah kerja yang meningkat. Walaubagaimanapun, kekurangan kakitangan mungkin hanya sekadar masalah biasa di bahagian operasi dan mungkin tidak sampai ke peringkat krisis.



Krisis Buruh yang aku ingin jelaskan di sini ialah kekurangan kakitangan yang melampau akibat mogok atau piket yang menyebabkan operasi syarikat terpaksa dihentikan. Ada juga kes-kes di mana para pekerja melakukan mogok tetapi tidaklah mengganggu atau menghentikan operasi syarikat.

Sebagai contoh, ada beberapa insiden di mana pekerja-pekerja bank berpiket  beberapa tahun lepas untuk menuntut penyelarasan gaji mereka. Piket-piket tersebut tidaklah menghentikan operasi bank-bank yang terlibat kerana dibuat semasa waktu makan tengahari dan selepas waktu bekerja.


Oleh yang demikian, BCP mungkin tidak perlu diaktifkan cuma sekadar bersedia bagi menghadapi gejala-gejala yang tidak diingini akibat dari piket-piket tersebut.

Apa yang aku ingin coretkan di sini ialah tentang pelan-pelan tindakan sekiranya berlaku tindakan mogok yang menjejaskan atau menghentikan operasi syarikat. Sila teruskan membaca...

Pelan-pelan Tindakan Meneruskan Operasi Ketika Berlakunya Krisis Buruh

Mogok ialah keengganan kakitangan syarikat meneruskan kerja-kerja operasi yang mungkin didorong oleh polisi-polisi serta tindakan-tindakan pengurusan syarikat yang tidak menyebelahi para pekerjanya. 

Mogok dilakukan mungkin bertujuan agar pihak pengurusan syarikat melakukan perubahan-perubahan ke atas beberapa polisi-polisi syarikat seperti gaji, elaun-elaun, benefit, serta mungkin juga tindakan-tindakan pengurusan yang tidak disenangi oleh para pekerja tersebut.

Oleh kerana natijah akibat mogok tersebut boleh mengakibatkan kerugian dari segi kewangan, sesebuah syarikat perlu bersedia dan mempunyai pelan-pelan tindakan sekiranya mogok berlaku. lebih-lebih lagi jika mogok berlaku di sesebuah Pusat Pengurusan Tunai.

Syarikat perlu tahu untuk mengurus serta melakukan tindakan-tindakan sebelum berlakunya mogok, ketika mogok serta aktiviti-aktiviti selepas kejadian mogok agar dapat meminimakan impak ke atas syarikat. Syarikat perlu menangani situasi krisis dengan teratur dan bijak agar krisis dapat diselesaikan tanpa ada apa-apa kos.

Tindakan-tindakan ketika Mogok dilancarkan

Berikut adalah tatacara dan panduan kepada ahli-ahli CMT yang dipimpin oleh Pengurus ketika menghadapi krisis buruh (mogok) dan haruslah dipatuhi:


NO PERKARA
1 Atur dan sediakan kawalan keselamatan di sekitar kawasan pekerja-pekerja yang melancarkan mogok.
2
Lantik seorang wakil pihak pengurusan untuk berhubungan dengan para pekerja yang sedang mogok.

Nota:

Semasa situasi tegang akibat mogok tersebut, wakil yang dilantik haruslah tahu bagaimana untuk mengawal keadaan agar tidak timbul situasi kacau bilau dan mengelakkan diri dari komfrontasi dengan para pekerja tersebut. Berkomunikasilah dengan paling minimum tetapi terkawal.
3
Lakukan pemantauan dan menilai situasi semasa agar keadaan sentiasa terkawal dan laporkannya kepada pihak pengurusan secara berterusan.

Nota:

Beberapa kakitangan Kawalan Keselamatan seharusnya ditugaskan untuk membantu untuk melakukan pemantauan dan mengawal selia kawasan persekitaran (bangunan pejabat) serta memberikan kawalan keselamatan ke atas pekerja-pekerja yang tidak terlibat dengan mogok termasuk pekerja-pekerja bantuan.
4 Rekod tindakan-tindakan atau aktiviti-aktiviti yang berlaku sama ada melalui CCTV atau membuat laporan bertulis untuk mendapatkan bukti-bukti yang mungkin diperlukan di masa akan datang.
5 Temani dan berikan kawalan keselamatan kepada kakitangan yang tidak terlibat dengan mogok serta kepada kenderaan-kenderaan yang masuk atau keluar dari kawasan Pusat Pengurusan Tunai tersebut.
6 Simpan semua senjata termasuk cortar, senapang dan pistol di tempat yang selamat seperti yang telah ditetapkan.


Tindakan-tindakan meneruskan operasi

Tindakan-tindakan berikut perlu diambil untuk meneruskan operasi syarikat walaupun mogok sedang dilancarkan:
  1. Kumpulkan dan arahkan pekerja-pekerja bantuan ketika krisis serta pekerja-pekerja yang tidak terlibat dengan mogok tersebut untuk melaksanakan tugasan-tugasan yang telah ditinggalkan. Jika perlu, dapatkan bantuan dari cawangan-cawangan yang berhampiran untuk membekalkan tenaga sumber manusia
  2. Fokus kepada tugasan-tugasan yang kritikal dan penting sahaja.
  3. Dapatkan nasihat dari pengurusan pusat (Ibu Pejabat) serta bantuan-bantuan tertentu dari Pusat Tunai Alternatif untuk penyediaan-penyediaan laporan tunai serta mendapatkan data-data penting dari pelanggan (jika perlu).
Tindakan-tindakan selepas berlakunya mogok para pekerja


Ahli-ahli CMT (Crisis Management Team) beserta pihak-pihak pengurusan perlu membuat kaji selidik tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika sebelum mogok serta semasa ianya dilancarkan (berlaku).

Tujuan utama melakukan analisa tersebut bukanlah untuk mengira kerugian syarikat semata-mata tetapi khas untuk mengetahui punca-punca permasalahan yang menjurus kepada kejadian mogok tersebut dan melihat/menilai tindakan-tindakan yang telah diambil ketika kejadian mogok tersebut berlaku sama ada tindakan-tindakan tersebut mengikut ketetapan-ketetapan atau pelan-pelan yang telah dibuat. 

Di samping itu analisa setiap langkah-langkah tindakan yang telah diambil dapat membantu ahli-ahli CMT dan pihak pengurusan mengetahui sama ada langkah-langkah tindakan tersebut wajar dilakukan dan berkesan bagi menangani krisis tersebut.

Aku paparkan di sini beberapa soalan yang mungkin dapat membantu anda membuat analisa tentang krisis tersebut:

Sebelum dan semasa kejadian
  • Bilakah kita mengetahui kejadian mogok ini akan berlaku?
  • Apakah punca-punca utama mogok itu dilancarkan?
  • Adakah kita tahu di mana dan bagaimana krisis tersebut bermula?
  • Apakah tanda-tanda yang kita kenal? Apakah pula tanda-tanda yang tidak kita ketahui?
  • Adakah semua kakitangan syarikat mengetahui tugasan masing-masing serta impak kepada syarikat sekiranya tugasan-tugasan tersebut tidak dijalankan?
  • Berapa ramaikah kakitangan yang terlibat? Siapakah pula yang tidak terlibat dan mengapa?
  • Siapakah yang menerajui pelancaran mogok tersebut?
  • Apakah kita telah menilai kesan-kesan kejadian tersebut terhadap syarikat?
  • Adakah kita memiliki pelan-pelan tindakan untuk menghadapi krisis tersebut?
  • Adakah kita benar-benar bersedia menghadapi krisis tersebut? Bantuan sokongan? Peralatan?
  • Berapa lamakah masa yang diambil sebelum menerima bantuan sokongan?
  • Adakah bantuan sokongan memberikan kesan?
  • Berapa lamakah masa yang terbuang menangani krisis tersebut?

Kejayaan atau kegagalan
  • Berapa lamakah masa yang diambil sebelum kita berjaya mengawal situasi krisis tersebut?
  • Baikkah sistem komunikasi di antara ahli-ahli CMT dengan pihak pengurusan serta pihak-pihak lain yang berkaitan?
  • Apakah tindakan-tindakan yang diambil mengikut ketetapan seperti yang telah dirancang?
  • Apakah pandangan kita sendiri terhadap tindakan-tindakan yang diambil ketika menangani krisis tersebut?
  • Adakah kita berjaya menghalang dari berlakunya kerugian terhadap syarikat?
  • Adakah nama syarikat tercalar akibat krisis tersebut?
  • Apakah yang dapat kita pelajari dari krisis tersebut?
  • Apakah langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil agar perkara yang sama tidak berulang?

Berdasarkan kepada perbincangan dan contoh-contoh soalan di atas, syarikat perlu membuat laporan bertulis yang menghuraikan secara terperinci kejadian mogok tersebut serta perlaksanaan tindakan-tindakan yang diambil serta perancangan masa hadapan bagi mengelakkan perkara yang sama dari berulang.

Kaji semula pelan-pelan tindakan sama ada ianya bersesuaian dan berjaya membantu ahli-ahli CMT menangani krisis tersebut. Mungkin terdapat pelan-pelan tindakan yang perlu diubah.



Ok, itu sahaja untuk kali ini. Aku akan menyambungnya kembali di post akan datang.

Sekali lagi aku mengingatkan bahawa coretan aku ini tidaklah selengkap dokumen BCP yang sebenarnya. Anda perlu mencari lagi maklumat-maklumat yang berkaitan di laman web lain atau buku-buku khas mengenai Crisis Management. Di antara maklumat-maklumat yang aku sengaja tinggalkan ialah tentang tatacara dan panduan mengenai langkah-langkah tindakan mengelakkan Krisis Buruh, proses-proses menanganinya serta bagaimanakah cara-cara membuat analisa terhadap kejadian tersebut.


Sekian.

4 Responses so far.

  1. CIK TOM says:

    still looking for a job...huhu...

  2. Salam Tomato Gurl's,
    Kena rajin g internet cari. Elok gak kalau guna Jobstreet..nanti ada la company yang panggil tuh.. Sabar

  3. CIK TOM says:

    mmg gn jobstreet tp stkt ni xpnh lg kn pggl yg jobstreet...rmai sgt..doa2kan tomato dpt keje cpt2..hehe

My Pings and Backlinks
Blogged.my Free Auto Backlinks From 1Malaysia Free Auto Malaysia Backlinks
Free SEO Tools My Ping in TotalPing.com