Sunday, January 16, 2011

Learn to appreciate

3 comments
 
Salam.

Aku paparkan di sini satu cerita tentang menghargai jasa dan pengorbanan orang lain untuk kita sama-sama renungkan. Asalnya cerita tersebut dikarang di dalam Bahasa Inggeris tetapi aku telah terjemahkan dan buat sedikit penambahan agar lebih mudah difahami khasnya kepada anak-anak aku yang sedang membesar.



Begini ceritanya...

**********

Seorang pemuda yang memiliki keputusan akademik yang amat baik telah pergi memohon pekerjaan sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat besar.

Dia lulus pada sesi temuduga yang pertama dan temuduga yang kedua pula dilakukan sendiri oleh Pengarah syarikat tersebut di mana beliaulah yang bakal membuat keputusan samada pemuda tersebut layak diambil bekerja.

Pengarah mendapati (daripada resume pemuda tersebut) bahawa keputusan akademik pemuda tersebut amat cemerlang, daripada sekolah rendah sehinggalah ke tahap ijazah yang diperolehinya. Tidak pernah sekalipun pemuda tersebut gagal dan setiap matapelajaran dia memperoleh keputusan yang amat baik.

Pengarah tersebut bertanya, "Pernahkah awak mendapat apa-apa biasiswa atau bantuan kewangan semasa bersekolah?" dan pemuda itu menjawab "Tidak pernah".

"Adakah bapa awak yang membayar kesemua yuran-yuran sekolah?" Pemuda itu berkata, "Bapa saya telahpun meninggal dunia semasa umur saya 1 tahun lagi. Emak sayalah yang membayar kesemua yuran-yuran tersebut."

Pengarah bertanya, "Di mana emak kamu bekerja?" Pemuda menjawab, "Emak saya bekerja sebagai pencuci pakaian."
Pengarah tersebut kemudiannya meminta pemuda tersebut menunjukkan kedua-dua tangannya dan seperti yang dipinta, pemuda tersebut menghulurkan tangan untuk dilihat oleh pengarah tersebut yang pada amatan beliau tangan-tangan tersebut lembut dan elok.

Kemudiannya beliau bertanya, "Pernahkah awak membantu emak awak membasuh pakaian sebelum ini?" Pemuda itu menjawab, "Tidak pernah. Emak saya sentiasa mahukan saya untuk fokus belajar dan membaca lebih banyak buku, Lagi pula, emak saya membasuh pakaian lebih pantas berbanding saya."

Pengarah berkata, "Saya ada satu permintaan, bila awak balik ke rumah hari ini, cuci dan bersihkan tangan emak awak selepas itu jumpa saya kembali pagi esok."

Pemuda itu merasakan bahawa peluang untuk mendapat pekerjaan tersebut sangat cerah. Apabila dia pulang ke rumah, dengan perasaan yang gembira dan berkobar-kobar, dia meminta untuk mencuci tangan ibunya. Ibu pemuda tersebut merasa aneh dan dengan perasaan berbaur-baur dia menghulurkan tangannya untuk dicuci oleh si anak.

Pemuda tersebut mencuci tangan ibunya dengan perlahan dan cermat.
Air mata bergenang dan berlinangan ketika melakukan perkara tersebut. Inilah kali pertama dia melihat tangan ibunya yang penuh dengan kedutan dan kasar. Terdapat juga luka-luka kecil yang membuatkan ibu pemuda tersebut merasa pedih ketika dicuci.

Inilah pertama kali pemuda tersebut sedar bahawa tangan ibunya yang kasar, berkedut dan terdapat luka-luka kecil yang memedihkan itulah yang membasuh pakaian setiap hari untuk mencari wang bagi membayar yuran-yuran sekolahnya. Luka-luka kecil di tangan ibunya itu merupakan harga yang dibayar untuk pencapaian akademiknya yang cemerlang dan mungkin juga masa depannya.

Selepas selesai mencuci tangan ibunya, pemuda tersebut secara diam-diam membasuh kesemua pakaian yang sepatutnya dan kebiasaannya dibasuh oleh ibunya.

Malam itu, kedua-dua ibu dan anak berbual-bual untuk jangkamasa yang lama.
Keesokan paginya, pemuda itu pergi semula ke pejabat Pengarah seperti yang dipinta.

Pengarah perasan terdapat kesan-kesan menangis di mata pemuda tersebut dan bertanya "Boleh ceritakan kepada saya apa yang telah anda buat dan belajar semalam semasa di rumah?". Pemuda itu menjawab, "Saya cuci tangan emak saya dan membasuh kesemua pakaian yang kebiasaannya dicuci oleh emak saya."

"Tolong ceritakan apakah perasaan awak."

Pemuda berkata, "Pertamanya, saya telah faham apa itu penghargaan. Tanpa emak saya, mungkin saya tidaklah secemerlang hari ini. Keduanya, Saya buat kerja emak saya, barulah saya sedar betapa sukarnya untuk menyiapkan sesuatu perkara atau pekerjaan.  Ketiganya, saya telah tahu betapa pentingnya perhubungan kekeluargaan."

Pengarah berkata, "Inilah yang saya inginkan. Saya mahu pekerja yang saya ambil bekerja adalah seorang yang boleh menghargai bantuan dan sumbangan orang lain, seseorang yang faham kesusahan malah penderitaan orang lain untuk melaksanakan sesuatu tugasan, seseorang yang tidak meletakkan wang sebagai satu-satunya matlamat dalam hidupnya. Saya akan ambil awak menjadi salah seorang pengurus saya."

Kemudiannya, pemuda tersebut bekerja dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Beliau dihormati oleh para pekerjanya. Kesemua para pekerjanya bekerja bersungguh-sungguh, bersama-sama secara satu pasukan dan Syarikat tersebut telah semakin berjaya.
**********


Moral dari cerita

Kaitannya dengan si pemuda

Seseorang kanak-kanak yang dimanja dan sentiasa sahaja diberikan apa yang dimahukannya berkemungkinan besar akan membentuk peribadi "entitlement mentality" dan senantiasa meletakkan matlamat dirinya yang paling diutamakan. Dia mungkin lupa akan pengorbanan kedua ibubapanya. Apabila mula bekerja, berkemungkinan dia bersikap bahawa semua orang mesti mendengar kata-katanya. Apabila dia menjadi seorang pengurus, dia mungkin tidak tahu bagaimana kesusahan pekerja bawahannya dan suka pula menuding kesalahan ke arah orang lain.  Pengurus sedemikian, mungkin akan mendapat hasil yang baik serta mungkin berjaya untuk seketika, tetapi, lambat laun akan merasa tidak puas dengan pencapaian yang diperolehi. Dia mungkin mengeluh dan timbul perasaan suka membenci serta berjuang untuk mendapatkan sesuatu yang lebih tinggi atau baik bagi dirinya sahaja.

Jika kita merupakan ibu dan bapa yang besikap suka memanjakan dan memberikan apa jua yang diminta oleh anak kita, adakah kita benar-benar menyayangi anak-anak kita ataukah kita sebenarnya merosakkan mereka?

Kita mampu menyediakan sebuah rumah yang besar untuk didiami, memberikan makanan yang lazat-lazat setiap hari, membelikan permainan komputer (PS 3 umpamanya), dan juga menyediakan TV berskrin besar, tetapi apabila kita melakukan kerja-kerja kasar dan mengotorkan misalannya memotong rumput atau membersihkan longkang sekeliling rumah, adakah kita menggalakkan anak-anak kita turut sama membantu?

Kenapa tidak biarkan sahaja mereka merasainya.

Selepas makan contohnya, galakkan mereka membasuh pinggan mangkuk yang digunakan. Galakkan mereka sesama adik beradik merasai pengalaman membasuh pinggan bersama-sama. Bukan kerana kita tidak mampu mengupah pembantu rumah melakukan kerja-kerja tersebut tetapi sebab kita ingin menyayangi mereka dengan cara yang betul. Yang paling utama ialah mengajar mereka untuk menghargai kesusahan dan pengorbanan orang lain dengan merasai sendiri aktiviti-aktiviti yang dilakukan di samping keupayaan bekerjasama dengan orang lain untuk melaksanakan sesuatu kerja.

Kaitannya dengan si Pengarah syarikat

Aku tertarik dengan cara Pengarah tersebut berfikir. Memberi pengajaran kepada si pemuda dengan memberi peluang pemuda itu sendiri yang merasai dan berfikir sendiri tentang pengalamannya. Itu merupakan salah satu cara mendidik yang kebiasaannya akan memberi kesan yang mendalam kepada para pekerja.

Memberi nasihat dengan hanya menghamburkan kata-kata terutamanya dengan menggunakan perkataan-perkataan kesat atau berbaur ugutan tidak memungkinkan orang yang dinasihati menerima nasihat tersebut . Mungkin pula menimbulkan rasa tidak puas hati malahan membenci.

Sebagai seorang ketua, pengurus atau pengarah di sesebuah syarikat, anda harus tahu matlamat utama syarikat yang perlu dicapai. Bertindak dengan hanya menyuruh atau memerintah para pekerja melakukan tugas tanpa memberikan bimbiingan sepatutnya boleh membawa kepada tidak tercapainya matlamat syarikat.

Bimbinglah pekerja anda, pimpinlah mereka untuk sama-sama bekerja mencapai matlamat yang disasarkan. Dengarlah rintihan atau keluhan mereka yang meghadapi kesukaran ketika melakukan tugasan yang diberikan.

Bukan semata-mata untuk menunjukkan rasa simpati tetapi yang lebih penting ialah agar kerja yang dilakukan mengikut ketetapan yang dikehendaki dan meminimakan kesalahan.

Janganlah pula suka mendengar hanya kepada kata-kata berunsur hasutan, hasad dengki dan kutukan dari sesetengah pekerja yang bersifat seperti lalang, suka membodek (mengipas), mementingkan diri sendiri dan lebih gemar menjatuhkan orang lain untuk mencapai matlamat diri.


Sekian.

3 Responses so far.

  1. Muttallif says:

    Fuh, penghargaan antara Anak Kepada Ibu, Bos Kepada Pekerja...tapi mcm mana pulak Pekerja kepada Bos???

    Paling Banyak Kita dengar Bos kena Kutuk, walaupun baik, kena jugak

    Peace!!!!

    Wonderpetz dalam kesusahan

  2. Thanx sudi komen Taliff.. Memang betul selalu kita dengar staff kutuk bos..cuba kita tanya dan lihat dari berbagai perspektif..kenapa staff tak suka bos tu? Banyak sebab bukan? Kebiasaannya, kerana tidak suka cara dan tindakan bos tersebut..Jarang sekali kita dengar staff tak suka bos kerana diri bos itu sendiri. Itu adalah perkara biasa kerana bos bertanggungjawab untuk memastikan matlamat syarikat tercapai. Sesetengah tindakan bos agak agresif bergantung kepada situasi dan mungkin memberikan tekanan kepada pekerjanya..Dan berapa ramaikah staff yang berhenti kerana tidak suka kepada bos mereka itu? Kurang sekali bukan?

My Pings and Backlinks
Blogged.my Free Auto Backlinks From 1Malaysia Free Auto Malaysia Backlinks
Free SEO Tools My Ping in TotalPing.com