Wednesday, September 15, 2010

Meriahkah Hari Raya anda?

17 comments
 
Salam,

Amacam Hari Raya anda tahun ini? Meriah? Seronok? Gembira? Bahagia? Apa-apa pun jangan lupa untuk menyambung kembali kerja anda. Apa? Cuti sebulan? Mak ai..mentang-mentang Raya sebulan, cuti pun sebulan. Raya sakan nampaknya..hehehe.

Di dalam kita bergembira menyambut Syawal, kita tidak harus lupa kepada insan-insan yang mungkin berduka sama ada kehilangan ahli keluarga tercinta, hidup di dalam kedaifan atau serba kekurangan, serta juga mereka yang berhutang keliling pinggang.


Aku telah mula masuk Ofis menyambung kembali kerja-kerja aku sejak semalam. Agak ralat juga kerana masih belum puas beraya tetapi aku perlu menyiapkan kerja-kerja aku yang masih belum siap-siap lagi itu. Yang membuatkan aku seronok ialah ofis aku senyap sunyi kerana kebanyakan kakitangan masih bercuti. Oleh itu aku dapat memerah otak aku untuk menulis SOP dan bermacam-macam dokumen yang berkaitan tentang Cash Management dengan tenang tanpa gangguan sama ada orang ataupun lagu-lagu raya..hehehe.

Di dalam kesibukan aku memerah otak mengarang ayat-ayat SOP, sesekali fikiran aku melayang kerana bagiku Hari Raya kali ini ada berbagai-bagai kejadian yang mungkin menjejaskan kemeriahannya.

Di antaranya ialah tentang pembunuhan ahli perniagaan Datuk Sosilawati serta 3 orang rakannya yang memenuhi dada-dada akhbar serta media-media elektronik lainnya. Malahan banyak juga blog-blog yang memaparkan kisah yang sama.


Aku tidak pernah berjumpa malah tidak kenal beliau walaupun kami berada di kampung yang sama (Sri Medan, Batu Pahat). Aku hanya mengenali beliau atau pernah melihat gambar-gambar di akhbar-akhbar serta majalah yang mengiklankan perniagaan kosmetiks yang beliau jalankan termasuklah kekecohan yang berlaku di antara beliau dan penyanyi Nash tidak lebih dari itu (aku juga peminat kumpulan rock Lefthanded...hehehe).

Di sana sini hampir semua orang bercerita tentang kes pembunuhan tersebut (di kampung aku memang merupakan satu berita paling sensasi). Berita di TV menjadi tumpuan untuk mengetahui perkembangannya.  ketika inilah aku melihat ramai yang berkumpul di depan TV ketika waktu berita. Ketika aku menziarahi sanak saudara pula, cerita yang sama merupakan topik utama perbualan. Bukan aku tidak suka, cuma kadang-kadang perbualan-perbualan tersebut (ditambah pula dengan garam secukup rasa) menjurus ke arah sesuatu yang negatif seperti berbaur perkauman dan sebagainya. Ada juga yang memandai-mandai membuat andaian-andaian tertentu terutamanya tentang duit, duit dan duit.

Aku memang simpati kepada keluarga beliau dan rakan-rakan beliau itu, tetapi aku juga hanya boleh sekadar simpati. Biarlah pihak Polis melaksanakan tanggungjawab menyelesaikan kes ini. Kita sepatutnya tidak terlalu taksub dan beremosi sehingga sanggup membuat andaian-andaian yang tidak betul mengenainya terutamanya yang berunsurkan perkauman.

Jadi, meriahkah Hari Raya aku tahun ini?

Masih lagi meriah lebih-lebih lagi pada Hari Raya tahun ini aku beraya dengan kereta baru. Walaubagaimanapun, tidaklah semeriah laporan-laporan akhbar mengenai kes pembunuhan tersebut...


Di sebalik kemeriahan tersebut, aku juga rasa berdebar-debar kerana 2 orang anak-anakku akan mengambil peperiksaan penting selepas Hari Raya ini. Hendak diikutkan sangat menyambut kemeriahan Hari Raya, aku risau juga mereka lalai dari mengulangkaji pelajaran.

Selepas ini kemeriahan akan disambung pula dengan "open house" yang sememangnya menjadi satu tradisi ketika Hari Raya. Sekali lagi, bukan aku tidak suka tetapi aku risau kerana banyak makan dan membuatkan berat badanku seperti "yo-yo"...hehehe.


Sekian.
Readmore...
Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya

4 comments
 
Salam

Kepada semua pembaca-pembaca, para pelawat, staff-staff dan rakan-rakan yang sudi datang menjenguk blog ini, aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri.


Di hari yang mulia ini aku ingin menghulur tangan memohon kemaafan sekiranya ada di antara anda semua yang terkilan, terguris hati, sakit hati, marah, sedih, kecewa dan sebagainya akibat dari kekhilafan coretan aku di sini.


Kepada semua para pembaca yang akan pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing, berhati-hatilah di jalan raya. Pandulah dengan cermat dan berwaspadalah sentiasa agar selamat sampai ke destinasi yang dituju. Pandulah kenderaan anda dengan beretika serta bertimbangrasalah dengan pengguna jalan raya yang lain.



Pastikan juga sebelum anda meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung, semua pintu-pintu dan tingkap-tingkap telah ditutup dan dikunci dengan sempurna. Berpesan-pesanlah dengan jiran-jiran yang mungkin tidak pulang ke kampung untuk melihat-lihat atau mengawasi rumah anda sekadar yang mereka termampu. Jika perlu, dapatkan khidmat pengawasan dari pihak Polis atau Syarikat Kawalan Keselamatan untuk membuat pemantauan.


Kepada staff-staff aku dan juga para pekerja lainnya yang tidak mendapat cuti raya, bersabarlah dan jalankan tanggungjawab kerja anda dengan tekun dan ikhlas.

Kepada emak dan abah, ampunkan dan maafkanlah anakmu ini jika ada salah dan silap, terkasar bahasa dan sebagainya. Halalkanlah makan dan minum.

Kepada ibu dan bapa mertuaku, saya minta ampun dan maaf di atas apa jua kesalahan yang telah saya lakukan.



Kepada isteriku, abang minta ampun dan maaf jika selama ini banyak kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan samada sedar atau tanpa sedar. Abang juga ampunkan dan maafkan kesalahan kamu dari hujung rambut sampai hujung kaki. Abang halalkan juga makan dan minum dan apa jua pemberian. Beringat-ingatlah semasa menyambut Hari Raya yang mulia. Janganlah kita asyik bergembira hingga terlalai atau terlupa kepada tanggungjawab yang lebih utama.


Kepada anak-anakku, jangan berlebih-lebihan berseronok beraya. Beringatlah dan berwaspadalah sentiasa. Jangan terlalu asyik bermain mercun dan bunga api hingga terleka dan mungkin memudaratkan diri. Hormatilah orang yang lebih tua ketika bertandang atau semasa ziarah menziarahi sesama ahli keluarga.

Kepada ahli-ahli keluargaku yang lain (adik-adik, ipar-duai, biras-biras, sepupu-sepapat dan lain-lain lagi), kuhulurkan tangan memohon kemaafan jika ada salah dan silap.


Kepada rakan-rakan seperjuangan, rakan-rakan sepejabat, rakan-rakan lain dan sesiapa jua yang mengenali aku, aku memhon kemaafan di atas apa jua kesalahan atau kekhilafan yang aku telah lakukan selama ini.


SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF ZAHIR & BATIN


Sekian.
Readmore...
Monday, September 6, 2010

Wasilah Amal

3 comments
 
Salam,

Aku rasa ini adalah post yang paling simple dan ringkas. Walaupun demikian ianya padat dan penuh makna bagi anda yang memahaminya.


Pernahkah anda terfikir kenapa doa anda masih tidak dimakbulkan oleh Allah SWT?

Aku tahu, itu hak Allah SWT untuk menerima atau memakbulkan doa kita, tetapi mungkinkah kita juga berdosa dan Allah SWT tidak mahu makbulkan buat masa ini?

Aku ingin share dengan anda tentang satu kaedah yang mana kita boleh minta pada Allah SWT (semasa berdoa) dengan "mengungkit” kebaikan yang menimpa dengan tujuan untuk makbulkan doa kita.  Kaedah tu dipanggil “Wasilah Amal

Contoh doa "Wasilah Amal":



“Ya Allah semalam aku sudah bersedekah sebanyak RM1, kalau itu satu kebaikan jadikanlah ia penyebab makbulnya doaku ini”

Menyuapkan anak pun kita boleh tuntut, apatah lagi bersedekah kepada ibu dan orang yang memerlukan.



Paling banyak buat baik dengan ibu kita, lagi mustajab.  Maknanya Wasilah Amal ni sangat berkesan kalau yang dituntut tadi adalah hal-hal yang berkaitan kebaikan yang dibuat kepada ibu kita. Tetapi kalau bersedekah RM1 takkan nak tuntut RM berjuta-juta pula?
 
Dengan manusia kita malu takut dikata permintaan kita berlebih-lebihan tetapi sumbangan tidak seberapa, sepatutnya dengan Allah SWT kita lagi malu.

Satu lagi konsep Wasilah Amal ialah meminta kebaikan (makbulkan doa) apabila kita ditimpa sakit atau musibah.

Sebagai contoh, kalau ditimpa sakit, baca "Innalillahiwainnaillaihirojjiun" dan kemudiannya berdoalah kepada Allah SWT:

“Ya Allah, berilah pahala besar untuk sakit yang aku tanggung ini”
atau
 “Ya Allah, bagilah aku keampunan dosa atas sakit ku ini”

Di bulan Ramadhan yang mulia ini terutamanya di malam-malam terakhir yang ada kemungkinan malam Lailatur Qadar, marilah kita perbanyakan amal ibadah serta perbanyakan doa mudah-mudahan doa kita dimakbulkan dan hidup kita diredhai Allah SWT.


Sekian.
Readmore...
Friday, September 3, 2010

Raya Mood?

14 comments
 
Salam,

Dah beli baju baru? Dah beli sofa baru? Dah beli kereta baru? Dah beli kuih-muih? Rumah dah cat baru? Duit raya dah tukar kat bank? Raya packet dah kumpul? Dah ada bini baru? (ehh!! silap..terlebih sudah)..hehehe.

Masing-masing sibuk sekarang ni. Ye la, Raya tinggal seminggu jer lagi.


Di office aku ini pun apa kurangnya. Masing-masing sibuk menghias. Gantung macam-macam benda perhiasan raya...replika ketupat, banner raya, replika lemang, mercun (yang main mercun tarik pedajal kawan-kawan pun ada...hehehe). Kadang-kadang tu mengalahkan budak-budak, padahal umur dah hampir setengah abad! Malah, yang dah kira pencen pun ada (umur lebih 55 tahun).

Aku bukan apa. Seronok juga melihat telatah-telatah mereka. Meriah office dibuatnya.

Walaubagaimanapun, disebalik kemeriahan yang wujud, aku sebenarnya tengah bertungkus lumus menyiapkan Standard Operating Procedures (SOP). Aku memerlukan ketenangan untuk mengarang ayat-ayat, membuat process flow, memperbaiki proses-proses yang sedia ada dan sebagainya.

Apa pula yang membuat aku rasa terganggu?

Aku tidak tahan mendengar lagu-lagu raya yang diputarkan di Office!

Dari pagi sampai habis waktu office lagu raya tidak sudah-sudah. Bukan aku benci lagu raya, tetapi aku tidak boleh fokus kepada kerja aku! Hendak ditutup pemain muzik tu nanti ada pula orang yang tidak puas hati dengan aku. Jadi, aku pekakkan sahaja telinga dan cuba memberi sepenuh tumpuan kepada kerja aku ini. Malangnya, aku tidak boleh..dan kadang-kadang aku pun turut menyanyi sama (lagu yang aku minat la)..hehehe.


Pernah juga aku godam komputer yang menyiarkan lagu-lagu raya tersebut..tiba-tiba sahaja lagu-lagu lain yang keluar seperti lagu Peterporn, Radja, Wings, Search dan lain-lain lagi. Ada pulak orang yang menjerit! Aku pula diam dan buat-buat tak tahu...hehehe.

Hendak tak hendak sekarang ini aku terpaksa pergi ke office lebih awal. Biasanya dalam pukul 7.10 a.m. aku dah serabai membuat kerja-kerja SOP aku tuh...hehehe.

Tetapi, hendak dijadikan cerita, mamat yang rajin pasang lagu raya tu sekarang ini pun asyik datang awal juga. Kadang-kadang lagi awal dari aku. Dia pasang juga lagu-lagu raya kesukaannya tu...adoi ai...

So, aku terpaksalah mengaku kalah. Ikut sahaja keinginan mereka. Sama-sama enjoy mendengar lagu-lagu raya dan sama-sama memeriahkan lagi suasana dan mood hari raya yang bakal tiba.

SOP? Errr...aku sambung lepas raya sahaja lah...hehehe...


Petang ni aku hendak pergi ke Bazaar Ramadhan, cari mercun tarik dalam 10 kotak. Oleh kerana aku selalu datang awal, aku hendak ikat mercun tarik tu kat semua kerusi staff-staff di office ni termasuk kerusi big boss (Direktor) aku..biar lagi meriah office dengan bunyi letupan-letupan hari raya...huahuahua.



Shhhhh...jangan beritahu sesiapa tau...hehehe.


Sekian.
Readmore...
Wednesday, September 1, 2010

Bahasa aku kurang ajar?

36 comments
 
Salam,

Kasarkah bahasa aku? Kurang ajarkah cara aku menulis?

Walaupun tiada terdetik di hatiku untuk menjadi kurang ajar atau menghamburkan kata-kata kesat, tetapi ada juga orang yang tidak gemar dan tidak suka penggunaan bahasa aku semasa menulis.


Beberapa bulan yang lepas, aku telah menerima satu e-mail dari seorang pembaca blog lama aku yang kukira telahpun berkubur tanpa update dan post-post baru. Penghantar e-mail tersebut menegur cara aku menulis menggunakan perkataan yang baginya "kurang ajar" dan seperti TIDAK menghormati para pembaca blog aku itu.

Aku paparkan di sini screen shot e-mail yang aku terima (yang sebenarnya telah dipost ke dalam ruangan komen di blog lama aku itu) oleh pelawat yang menamakan dirinya sebagai "Mus".


Aku tiada niat untuk bersikap kasar atau kurang ajar dengan sesiapapun terutamanya pembaca setia blog aku. Apa yang aku lakukan hanyalah ingin berkongsi maklumat dan nasihat-menasihati secara lebih informal.

Walaubagaimanapun, untuk menjaga hati semua pembaca-pembaca blog aku ini termasuk Mus si tukang komen @ penghantar e-mail tersebut, aku ubah juga cara penyampaian aku kepada yang lebih elok (seperti yang dipintanya). Sebab itu, di blog baru aku ini, aku tidak lagi menggunakan perkataan "korang", "engkorang", "diorang" dan sebagainya tetapi aku tetap lagi menggunakan perkataan "AKU" untuk gantinama diri aku.

Kepada Mus dan pembaca-pembaca yang terasa akan kekasaran bahasa (gantinama diri) yang telah aku gunakan sebelum ini, sempena Ramadhan yang mulia dan Hari Raya yang akan tiba, aku memohon ampun dan maaf seikhlasnya.

Aku berharap, janganlah kerana kekasaran penggunaan gantinama diri itu menjadi penyebab anda semua tidak lagi mahu melawat blog aku ini.

Aku juga berharap agar anda dapat menegur aku sekiranya penggunaan bahasa atau cara-cara penyampaian aku di blog ini tidak elok atau membuat anda marah, benci atau sakit hati. Aku hanyalah insan biasa yang terlalu mudah untuk melakukan kesilapan dan oleh itu teguran atau saranan anda amatlah aku hargai dan alu-alukan.




Sekian dan Selamat Hari Raya.
Readmore...
My Pings and Backlinks
Blogged.my Free Auto Backlinks From 1Malaysia Free Auto Malaysia Backlinks
Free SEO Tools My Ping in TotalPing.com